
Sepanjang hayat, Mohd Aidil Amri Saa’din,
25, tidak pernah merasai keenakan nasi lemak, jauh sekali menjamah
rendang dan ketupat di pagi Aidilfitri kerana tubuhnya hanya boleh memproses makanan dalam bentuk cecair sejak dilahirkan.
Sebagai ganti, Mohd Aidil bergantung
kepada minuman Milo, sup dan air kosong untuk mendapatkan tenaga dan
zat. Setiap kali jatuh sakit, dia akan meminta doktor memberi ubat
cecair gara-gara tidak boleh menelan pil.
Berikutan tabiatnya meminum sehingga 15
gelas Milo sehari, Mohd Aidil Amri digelar ‘Milo’ oleh rakan yang
memahami keganjilan yang dihadapinya. Bukan saya tidak pernah cuba makan
nasi, tetapi apabila ditelan, seakan-akan tekak tidak dapat menerima dan saya akan segera muntah.
“Makanan lain seperti roti, mi atau makanan yang dijual di restoran segera tidak pernah saya sentuh sepanjang hidup,” katanya.
Mohd Aidil Amri yang bekerja sebagai
Pengurus Web Tonton di Media Prima Bhd (Media Prima) ketika ditemui,
tampak sihat dan tidak menunjukkan beliau menghadapi masalah berhubung
tabiat pemakanannya itu.
Mohd Aidil Amri yang berasal dari Alor Setar, Kedah, berkata tabiatnya mengambil cecair sebagai makanan bermula sejak berusia setahun seperti diceritakan ibunya, Zaiton Hashim.
“Ketika kecil, ibu cuba memberi saya makanan, tetapi saya selalu lari. Sejak usia setahun, saya tidak menyentuh makanan melainkan meminum Milo yang menjadi makanan ruji saya,” katanya yang menjadi perhatian ramai sejak ditemuramah rancangan, Pagi Show di Fly FM, Selasa lalu.
Beliau berkata, dalam sehari, beliau akan mengambil sekurang-kurangnya 15 gelas Milo.
“Saya juga boleh mengambil minuman lain, tetapi Milo menjadi makanan penting untuk saya,”.
Mohd Aidil Amri berkata, setiap kali
menjamah sup, beliau akan mengasingkan isinya sebelum dihirup serta
menganggap sajian yang diambil dua kali seminggu itu sebagai makanan
‘mewah’.
Ditanya mengenai perasaannya setiap kali
melihat rakan menjamu selera dengan makanan lazat, beliau berkata, rasa
iri hati tetap wujud tetapi dirinya sentiasa berfikiran positif.
“Adik-beradik saya normal, keluarga lain pun sama. Hanya saya yang mengalami keadaan ini dalam keluarga.
Sejak kecil, saya sudah berjumpa ramai pengamal perubatan sama ada
tradisional atau moden, namun mereka juga tidak tahu punca keadaan saya
ini.
“Doktor memberitahu saya sihat saya
anggap ini adalah takdir Allah SWT dan saya menerimanya dengan hati
terbuka,” katanya yang meminati muzik rock terutama kumpulan rock,
Metallica.
No comments:
Post a Comment