Tuesday, 5 June 2012
Busuk!
PUCHONG: Bukan saja menanggung sakit ketika menunggu untuk mendapatkan rawatan doktor, malah penduduk di Flat Taman Puchong Permai, di sini, menanggung derita menahan bau busuk sejak lima bulan lalu berikutan kedudukan rumah sampah di hadapan pintu masuk ke Klinik Kesihatan 1Malaysia di situ.
Bau busuk itu menyebabkan pihak klinik menutup pintu sepanjang masa.
Tinjauan Metroplus mendapati penduduk menutup mulut setiap kali ingin masuk ke klinik berkenaan kerana rumah sampah terletak di hadapan klinik selain ia masih digunakan penduduk untuk membuang sampah.
Penduduk, Kamisah Mohd Salleh, 49, berkata, masalah itu berlaku berikutan ruang untuk menempatkan klinik hanya ada di hadapan rumah sampah terbabit menyebabkan penduduk dan pihak klinik tiada pilihan untuk meneruskan operasi di situ.
“Tidak dinafikan punca kekurangan tempat menyebabkan hadapan rumah sampah menjadi pilihan untuk membuka klinik kesihatan. “Biarpun kemudahan itu untuk penduduk, disebabkan kawasan yang kurang strategik ia mula menjadi buah mulut orang ramai.
“Penduduk rimas dan tidak selesa dengan bau busuk berikutan rumah sampah masih digunakan untuk membuang sampah,” katanya.
Bagi Mohd Kassim Mohd Zin, 61, berkata, baru-baru ini penduduk menandatangani persetujuan bersama untuk membenarkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) merobohkan rumah sampah berkenaan.
“Kami sudah menghantar surat persetujuan selepas masalah ini diatasi MPSJ dan mereka menyarankan supaya rumah sampah dirobohkan berikutan ia terlebih dulu dibina sebelum klinik kesihatan wujud.
“Segala-galanya kini kami serahkan kepada MPSJ untuk meneruskan perancangan merobohkan rumah sampah seperti yang dipersetujui dan berharap masalah ini segera selesai kerana bimbang penyakit penduduk lebih parah akibat menghidu bau sampah setiap hari,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Korporat MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, pihaknya menyarankan rumah sampah di situ dirobohkan berikutan bimbang masalah kesihatan penduduk yang menghidu bau busuk setiap hari.
“Atas rasa prihatin dan tanggungjawab, kami bersedia membantu mengatasi masalah ini, namun segala-galanya mengikut peruntukkan dan pelantikan kontraktor. Setakat ini kami belum menerima peruntukkan yang bakal dikeluarkan daripada Geran Selangorku yang disediakan kerajaan Selangor.
“Namun, kami yakin masalah ini segera selesai dan menanti peruntukkan bagi merobohkan rumah sampah berkenaan selain menambah tiga lagi rumah sampah di kawasan ini demi kemudahan penduduk,” katanya ketika dihubungi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment